....بسم الله الرحمن الرحيم

"Seandainya aku mati, aku relakan penulisan aku ini menjadi sebuah kenangan aku di dunia ini bersama orang yang aku sayang, bersama pengalaman yang aku lalui, bersama pendapat yang aku kemukakan. Ku abadikan segalanya disini. Inilah perjalanan hidupku. Doakanlah aku tenang disana. Ampunkan segala khilafku semasa aku di dunia yang bersifat sementara ini. Pesanku, teruslah bangun untuk ummah ini...."

Disclaimer: Sebarang 'Copy and Paste' perlu diberitahu terlebih dahulu
Showing posts with label Favourite. Show all posts
Showing posts with label Favourite. Show all posts

Friday, June 14, 2019

Geng Bilik Masak


Ramadhan kali ini meriah. Sepertinya aku ingin kekal sebegitu. Ia meriah dengan insan-insan yang hadir memeriahkan suasana. Kelab Iqra’ merupakan keluarga kedua aku di UKM. Komitmen dalam dua program yang aku pernah sertai sebelum ini dibawah anjuran Kelab Iqra’ telah menjadikan aku penyambung warisan tanzim (Majlis Tertinggi Kelab) Kelab Iqra’.

                Selaku penyambung legasi Tanzim Kebal Iqra’, aku sedar bahawa amanah dan tugas yang diberi itu bukanlah kecil. Walaupun kelab ini dilihat kecil sahaja dari pandangan orang, atas sebab ianya hanyalah sebuah kelab kecil di Kolej Ungku Omar, namun hakikatnya Kelab Iqra’ membawa matlamat dan visi yang sangat besar dan jelas;

“Membaca, Menghayati dan Mengamalkan”

                Oleh itu, aku tertanam dalam diri, untuk melakukan yang terbaik untuk kelab ini, meneruskan dan menghidupkan sunnah nabi dan menyebarkan dakwah Islamiyyah seluas yang mungkin. Aku harap, begitu jugalah kepada yang lain. Dengan niat itu, aku rasa tidak hairanlah geng bilik masak ini mampu untuk memberikan komitmen yang lebih kuat untuk masa yang akan datang.

                Gelaran yang aku beri ini, adalah disebabkan tanzim-tanzim Kelab Iqra’ ini seringkali meluangkan masa di bilik masak bagi memasak juadah berbuka dan sebagainya. Sebagai tugasan pertama kami setelah dilantik adalah menjadi AJK bagi program Ihya’ Ramadhan. Antara rutin yang akan dibuat ialah membuat agihan kupon makanan, persediaan solat di surau dan juga penyediaan moreh.

                Bagi kali ini, aku dilantik sebagai AJK dalam Pos Jamuan. Maka aku rasa aku telah berjaya memeriahkan bilik masak itu dengan sebaik yang mungkin. Bilik masak itulah menjadi tempat perkumpulan kami sekeluarga, memasak, merasa air, menyediakan makanan disamping merapatkan ukhuwwah sesama kami.

                Ada suatu ketika, ramai diantara kami yang pulang ke kampung masing-masing. Hah! Maka ketika itulah kesunyian menjengah dan rindu menyapa. Terasa sepi bilik masak itu tanpa gelak tawa dan usik-mengusik mereka. Yang tinggal hanyalah kenangan yang seakan-akan melakonkan semula, segala memori itu.

                Geng bilik masak ini juga bukanlah calang-calang! Mereka tersangatlah pandai memasak. Ramadhan yang lalu telah memberi peluang kepada kami untuk mengadakan Iftar anjuran Kelab Iqra’. Maka selaku yang bertanggungjawab, aku telah berjaya mengeluarkan segala bakat terpendam mereka dalam masakan. Setiap hidngan itu diketuai oleh salah seorang muslimat daripada tanzim kami. Aku sangat bangga melihat usaha mereka yang bertungkus-lumus dari pagi untuk menyediakan juadah berbuka.

                Masakan yang berjaya kami hidangkan adalah lauk sayur masak lemak cili padi, ayam goreng, sambal belacan dan juga sagu gula Melaka. Jika difikirkan semula, siapa yang sanggup untuk menghabiskan masa untuk memasak, sedangkan ketika itu kita penuh dengan tugasan dan sebagainya. Tetapi, disebabkan niat yang aku ceriaka tadilah, aku merasakan mereka sanggup meluangkan masa, walaupun sedikit untuk bersama-sama memasak.

                Ceritanya bukan sahaja seronok memasak, tetapi ukhuwah yang dijalinkan itulah yang lebih bermakna. Doakan kami, agar niat yang kami letakkan, mendorong kami untuk terus kuat dalam menggerakkan Kelab Iqra’ di kolej kami, seterusnya mengimarahkan juga surau kolej yang aku lihat semakin bertambah pengunjungnya.

                Gembira apabila dapat melihat kelab ini sedikit-sebanyak berjaya menghidupkan sunnah-sunnah nabi terdahulu, seperti makan dalam talam. Namun yang lebih bahagia adalah apbila aku tahu, dengan jalan ini, aku dapat menghidupkan sunnah nabi yang terbesar, iaitu amalannya atau pekerjaan yang terbesar, iaitu menyampaikan Islam kepada orang lain.

                Semoga setiap amalan kita diterima dan menyampaikan kita ke syurga nanti, InshaAllah.


 

Monday, May 20, 2019

Sebuah apresiasi buat yang selalu di sisi

Pesan dia, "Kalau akak dapat tahu salah seorang daripada korang, yang akak sayang ni, jadi badut media sosial, siaplah! Kalau rasa nak telinga tu berasap dengar akak bebel, buatlah!"

Tak sangka, penyertaan aku dalam pasukan Debat Kolej Ungku Omar bagi Debat Naib Canselor menemukan aku dengan keluarga pertama aku di UKM. Lebih tidak aku sangka bila dapat bertemu dengan seseorang ini, yang namanya akan ku biarkan rahsia. Gelarannya, SN.

Pasukan debat Kolej Ungku Omar 2018 

Memang benar aturan Allah itu yang terindah. SN banyak buka mata aku, ajar aku yang hidup ini lebih daripada apa yang kita nampak. 

Pasukan debat kami anggap SN sebagai kakak kami dah, bila SN jadi 'trainer' debat. Macam mana boleh jadi kakak? Iyalah, mana ada trainer yang sanggup stay up dengan anak didik buat usul debat. Tapi SN lah yang cuba bahagi dua otak dan dua badan untuk ada kalau boleh di setiap perlawanan debat kedua-dua pasukan kami yang berbeza tempat. SN juga pengubat luka-luka kesedihan dan kepedihan yang kami alami.

SN berjaya yakinkan aku untuk berdebat. Hebatnya SN ni sebab SN seorang pemerhati yang cekap dan teliti. Setiap gerak-geri dan patah perkataan yang terkeluar pasti akan SN nilai. Penilaiannya pula, tak pernah lagi tersalah nilai. SN berjaya senarikan kelebihan dan kekurangan kami, sehinggakan susunan pasukan kami saling melengkapi, antara satu sama lain, yang seterusnya menjadikan kami lasukan yang 'solid'.

SN menjadi salah seorang yang membentuk peribadi ini.

SN juga bukan sahaja ada dengan kami sehingga habis debat, tetapi sampai hari ini, SN pasti akan cuba ada untuk kami. Kadang SN lah tempat menangis dan mengadu. SN jugalah tempat kami menuntut ilmu, 'survival kit' untuk hadap masalah dunia di kolej. Lebih daripada itu, SN sentiasa harapkan apa yang diajarnya dapat mematangkan kami dan digunakan sehingga mati. Yang pasti, SN seorang pendengar yang baik. 

Secara peribadi, nak cakap betapa sayangnya aku dekat SN ni, sampaikan aku tak akan dengar nasihat yang orang lain bagi, kecuali nasihat itu diberi oleh SN. Padahal nasihatnya sama sahaja! Kesantunan dan kesopanannya pasti akan membuatkan yang melihatnya jatuh cinta.

Luluh hati kalau mendengar SN berbicara ;) 


Larilah jauh mana, akan aku teringatkan peribadi SN. Bak kata orang, "Peribadi melambangkan diri". Biarlah cantik muka kita sama seperti indahnya peribadi. SN ajar banyakkkkkkkk sangat benda sampaikan kadang tu rasa nak menangis. "Kenapalah ada orang yang hebat sangat macam ni?" 

Bagi aku, susah nak jumpa orang macam SN. Seorang yang fokus, teliti, menilai dan membanding. Benda-benda macam ini terlalu halus untuk ada pada diri seseorang itu kalau kita tidak dan malas berfikir. Tujuan, perancangan dan matlamat yang SN tetapkan juga jauh, tetapi teliti. 

Hebatnya juga rasa yang aku rasa sekarang ini, sampaikan tidak terluah dek kata-kata. Tak dapat aku bayangkan, masanya akan tiba bila mana SN akan pergi, jauh dari hidup kami.

SN pernah cakap, "Akak tak pergi mana pun. Apa yang akak bagi pada korang akan cukup buat untuk akak ada bersama korang."

Perawat kekoyakan yang ada.

SN, terima kasih atas aliran ilmu berharga yang kadang diri ini tak nampak dan tak terkutip. Terima kasih kerana sentiasa ada dalam merawat kedukaan diri, walaupun awak sibuk. Terima kasih juga kerana ikhlas disepanjang keberadaan awak disisi kami semua. Percayalah, kekuatan awak menjadi kekuatan saya. Semoga suatu hari nanti awak berjaya mencapai matlamat dan impian yang awak selalu impikan. 

Sukarnya untuk saya gambarkan betapa indahnya awak, betapa sayangnya saya pada awak, walaupun dengan kata-kata. Biarlah rasa ini tersimpan di hati ini, mungkin ianya terlalu berharga untuk diluahkan. Tapi yang pasti, jasa dan kata-kata awak tak akan saya lupa. Memori kita, berbual sehingga sahur, bercerita itu ini, riak muka awak disetiap perbualan, akan menjadi kenangan terindah. Harapnya ukhuwah ini berkekalan.

Terima kasih :') 






Nota buat SN: Kalau awak baca ni, jangan ajuk sepatah pun ayat daripada penulisan ini. Saya malu >,< Tapi awak kena bagitahu saya kalau awak dah baca.