Ramadhan
kali ini meriah. Sepertinya aku ingin kekal sebegitu. Ia meriah dengan
insan-insan yang hadir memeriahkan suasana. Kelab Iqra’ merupakan keluarga
kedua aku di UKM. Komitmen dalam dua program yang aku pernah sertai sebelum ini
dibawah anjuran Kelab Iqra’ telah menjadikan aku penyambung warisan tanzim
(Majlis Tertinggi Kelab) Kelab Iqra’.
Selaku penyambung legasi Tanzim
Kebal Iqra’, aku sedar bahawa amanah dan tugas yang diberi itu bukanlah kecil.
Walaupun kelab ini dilihat kecil sahaja dari pandangan orang, atas sebab ianya
hanyalah sebuah kelab kecil di Kolej Ungku Omar, namun hakikatnya Kelab Iqra’
membawa matlamat dan visi yang sangat besar dan jelas;
“Membaca,
Menghayati dan Mengamalkan”
Oleh itu, aku tertanam dalam
diri, untuk melakukan yang terbaik untuk kelab ini, meneruskan dan menghidupkan
sunnah nabi dan menyebarkan dakwah Islamiyyah seluas yang mungkin. Aku harap,
begitu jugalah kepada yang lain. Dengan niat itu, aku rasa tidak hairanlah geng
bilik masak ini mampu untuk memberikan komitmen yang lebih kuat untuk masa yang
akan datang.
Gelaran yang aku beri ini,
adalah disebabkan tanzim-tanzim Kelab Iqra’ ini seringkali meluangkan masa di
bilik masak bagi memasak juadah berbuka dan sebagainya. Sebagai tugasan pertama
kami setelah dilantik adalah menjadi AJK bagi program Ihya’ Ramadhan. Antara
rutin yang akan dibuat ialah membuat agihan kupon makanan, persediaan solat di
surau dan juga penyediaan moreh.
Bagi kali ini, aku dilantik
sebagai AJK dalam Pos Jamuan. Maka aku rasa aku telah berjaya memeriahkan bilik
masak itu dengan sebaik yang mungkin. Bilik masak itulah menjadi tempat
perkumpulan kami sekeluarga, memasak, merasa air, menyediakan makanan disamping
merapatkan ukhuwwah sesama kami.
Ada suatu ketika, ramai diantara
kami yang pulang ke kampung masing-masing. Hah! Maka ketika itulah kesunyian
menjengah dan rindu menyapa. Terasa sepi bilik masak itu tanpa gelak tawa dan
usik-mengusik mereka. Yang tinggal hanyalah kenangan yang seakan-akan
melakonkan semula, segala memori itu.
Geng bilik masak ini juga
bukanlah calang-calang! Mereka tersangatlah pandai memasak. Ramadhan yang lalu
telah memberi peluang kepada kami untuk mengadakan Iftar anjuran Kelab Iqra’.
Maka selaku yang bertanggungjawab, aku telah berjaya mengeluarkan segala bakat
terpendam mereka dalam masakan. Setiap hidngan itu diketuai oleh salah seorang
muslimat daripada tanzim kami. Aku sangat bangga melihat usaha mereka yang
bertungkus-lumus dari pagi untuk menyediakan juadah berbuka.
Masakan yang berjaya kami
hidangkan adalah lauk sayur masak lemak cili padi, ayam goreng, sambal belacan
dan juga sagu gula Melaka. Jika difikirkan semula, siapa yang sanggup untuk
menghabiskan masa untuk memasak, sedangkan ketika itu kita penuh dengan tugasan
dan sebagainya. Tetapi, disebabkan niat yang aku ceriaka tadilah, aku merasakan
mereka sanggup meluangkan masa, walaupun sedikit untuk bersama-sama memasak.
Ceritanya bukan sahaja seronok
memasak, tetapi ukhuwah yang dijalinkan itulah yang lebih bermakna. Doakan
kami, agar niat yang kami letakkan, mendorong kami untuk terus kuat dalam
menggerakkan Kelab Iqra’ di kolej kami, seterusnya mengimarahkan juga surau
kolej yang aku lihat semakin bertambah pengunjungnya.
Gembira apabila dapat melihat
kelab ini sedikit-sebanyak berjaya menghidupkan sunnah-sunnah nabi terdahulu,
seperti makan dalam talam. Namun yang lebih bahagia adalah apbila aku tahu,
dengan jalan ini, aku dapat menghidupkan sunnah nabi yang terbesar, iaitu
amalannya atau pekerjaan yang terbesar, iaitu menyampaikan Islam kepada orang
lain.
Semoga setiap amalan kita
diterima dan menyampaikan kita ke syurga nanti, InshaAllah.
No comments:
Post a Comment