....بسم الله الرحمن الرحيم

"Seandainya aku mati, aku relakan penulisan aku ini menjadi sebuah kenangan aku di dunia ini bersama orang yang aku sayang, bersama pengalaman yang aku lalui, bersama pendapat yang aku kemukakan. Ku abadikan segalanya disini. Inilah perjalanan hidupku. Doakanlah aku tenang disana. Ampunkan segala khilafku semasa aku di dunia yang bersifat sementara ini. Pesanku, teruslah bangun untuk ummah ini...."

Disclaimer: Sebarang 'Copy and Paste' perlu diberitahu terlebih dahulu

Friday, June 14, 2019

Geng Bilik Masak


Ramadhan kali ini meriah. Sepertinya aku ingin kekal sebegitu. Ia meriah dengan insan-insan yang hadir memeriahkan suasana. Kelab Iqra’ merupakan keluarga kedua aku di UKM. Komitmen dalam dua program yang aku pernah sertai sebelum ini dibawah anjuran Kelab Iqra’ telah menjadikan aku penyambung warisan tanzim (Majlis Tertinggi Kelab) Kelab Iqra’.

                Selaku penyambung legasi Tanzim Kebal Iqra’, aku sedar bahawa amanah dan tugas yang diberi itu bukanlah kecil. Walaupun kelab ini dilihat kecil sahaja dari pandangan orang, atas sebab ianya hanyalah sebuah kelab kecil di Kolej Ungku Omar, namun hakikatnya Kelab Iqra’ membawa matlamat dan visi yang sangat besar dan jelas;

“Membaca, Menghayati dan Mengamalkan”

                Oleh itu, aku tertanam dalam diri, untuk melakukan yang terbaik untuk kelab ini, meneruskan dan menghidupkan sunnah nabi dan menyebarkan dakwah Islamiyyah seluas yang mungkin. Aku harap, begitu jugalah kepada yang lain. Dengan niat itu, aku rasa tidak hairanlah geng bilik masak ini mampu untuk memberikan komitmen yang lebih kuat untuk masa yang akan datang.

                Gelaran yang aku beri ini, adalah disebabkan tanzim-tanzim Kelab Iqra’ ini seringkali meluangkan masa di bilik masak bagi memasak juadah berbuka dan sebagainya. Sebagai tugasan pertama kami setelah dilantik adalah menjadi AJK bagi program Ihya’ Ramadhan. Antara rutin yang akan dibuat ialah membuat agihan kupon makanan, persediaan solat di surau dan juga penyediaan moreh.

                Bagi kali ini, aku dilantik sebagai AJK dalam Pos Jamuan. Maka aku rasa aku telah berjaya memeriahkan bilik masak itu dengan sebaik yang mungkin. Bilik masak itulah menjadi tempat perkumpulan kami sekeluarga, memasak, merasa air, menyediakan makanan disamping merapatkan ukhuwwah sesama kami.

                Ada suatu ketika, ramai diantara kami yang pulang ke kampung masing-masing. Hah! Maka ketika itulah kesunyian menjengah dan rindu menyapa. Terasa sepi bilik masak itu tanpa gelak tawa dan usik-mengusik mereka. Yang tinggal hanyalah kenangan yang seakan-akan melakonkan semula, segala memori itu.

                Geng bilik masak ini juga bukanlah calang-calang! Mereka tersangatlah pandai memasak. Ramadhan yang lalu telah memberi peluang kepada kami untuk mengadakan Iftar anjuran Kelab Iqra’. Maka selaku yang bertanggungjawab, aku telah berjaya mengeluarkan segala bakat terpendam mereka dalam masakan. Setiap hidngan itu diketuai oleh salah seorang muslimat daripada tanzim kami. Aku sangat bangga melihat usaha mereka yang bertungkus-lumus dari pagi untuk menyediakan juadah berbuka.

                Masakan yang berjaya kami hidangkan adalah lauk sayur masak lemak cili padi, ayam goreng, sambal belacan dan juga sagu gula Melaka. Jika difikirkan semula, siapa yang sanggup untuk menghabiskan masa untuk memasak, sedangkan ketika itu kita penuh dengan tugasan dan sebagainya. Tetapi, disebabkan niat yang aku ceriaka tadilah, aku merasakan mereka sanggup meluangkan masa, walaupun sedikit untuk bersama-sama memasak.

                Ceritanya bukan sahaja seronok memasak, tetapi ukhuwah yang dijalinkan itulah yang lebih bermakna. Doakan kami, agar niat yang kami letakkan, mendorong kami untuk terus kuat dalam menggerakkan Kelab Iqra’ di kolej kami, seterusnya mengimarahkan juga surau kolej yang aku lihat semakin bertambah pengunjungnya.

                Gembira apabila dapat melihat kelab ini sedikit-sebanyak berjaya menghidupkan sunnah-sunnah nabi terdahulu, seperti makan dalam talam. Namun yang lebih bahagia adalah apbila aku tahu, dengan jalan ini, aku dapat menghidupkan sunnah nabi yang terbesar, iaitu amalannya atau pekerjaan yang terbesar, iaitu menyampaikan Islam kepada orang lain.

                Semoga setiap amalan kita diterima dan menyampaikan kita ke syurga nanti, InshaAllah.


 

No comments:

Post a Comment